PenerbitBuku.Com Berwajah Baru dan Berada Di Top 10 Google Carian

October 7, 2007

Alhamdulillah hari ini saya berjaya menaikkan wajah baru PenerbitBuku.Com ini. Ini merupakan era baru kepada perkembangan BookPro. Wajah baru, azam baru, inspirasi baru dan kekuatan baru.

Alhamdulillah juga pada ketika ini ada beberapa projek baru diperoleh dan sedang dikendalikan oleh pihak BookPro. Ini juga memberikan semangat kepada semua warga BookPro.

Yang terbaru, saya membuat carian di enjin carian Google bagi kata kunci yang pada pandangan saya amat penting iaitu “penerbit buku”. Cuba teka apa yang saya peroleh? Laman web ini berada di kedudukan 3 daripada 1,770,000. Satu kedudukan yang amat baik bagi seorang usahawan online seperti saya.

Terbit Sendiri VS Penerbitan Komersil

October 7, 2007

Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa pula saya sebagai penerbit buku yang sudah mempunyai nama mahu menceburi desktop publishing services. Adakah tiada bisnes dalam penerbitan komersil berbanding dengan penerbitan sendiri (Self publishing). Saya membuka satu unit khas desktop publishing ini adalah bagi memberikan alternatif kepada semua penulis dan individu yang merasakan mereka mampu menerbit sendiri buku. Mereka mempunyai kekuatan kewangan, kekuatan pemasaran, mempunyai ruangan penjualan sendiri cuma tidak mempunyai kepakaran dalam bidang penerbitan buku. Saya di penerbitan komersil, PTS Millennia Sdn Bhd menerbit buku yang lebih spesifik kepada pasaran buku umum. Ada juga pasaran buku yang kami sendiri tidak tahu untuk masuk dan hanya orang tertentu sahaja tahu.

Jadi dengan adanya Book Pro Publishing Services ia memberikan medium pilihan dan alternatif kepada mereka yang tahu cara pemasaran tetapi tidak mempunyai kepakaran penerbitan. Jangan salah anggap pula.

Apakah Bezanya Penerbitan Sendiri dengan Penerbitan Komersil

Penerbitan komersil adalah penerbitan yang sudah mempunyai cara penerbitannya yang tersendiri. Mereka sudah ada spesifikasi buku, kriteria buku, konsep buku dan cara menerbit buku tersendiri. Segala buku yang diterbitkan di bawah penerbitan komersil adalah di bawah acuannya. Melalui penerbitan komersil ini mereka mempunyai pasukan editorial, pasukan pemasaran dan pasukan jualannya sendiri.

pasukan editorial yang diwujudkan dengan cara penerbitan mereka mempunyai cara serta hala tuju mengikut polisi ditetapkan oleh pengurusan. Konsep reka bentuk, isi, cara suntingan dan persembahan dirancang mengikut polisi penerbitan mereka. Jadi bagi penulis yang mahu masuk menerbit buku dengan penerbit tersebut perlu mengikut segala yang ditetapkan oleh penerbit itu. Dari satu segi nampak macam buruk tetapi banyak kebaikannya. Konsep yang dibuat itu selalunya sudah diuji bertahun-tahun sejak penerbitan pertama penerbit tersebut. Jadi penerbitan sesuatu buku itu sudah dirancang mengikut hasil ujian tersebut. Buku akan lebih mudah dijual kerana penerbit sudah tahu buku mana yang boleh dijual dan mana yang tidak boleh. Kulit buku, susun atur huruf buku serta persembahan bahasa dibuat dengan teliti mengikut kehendak pasaran.

pasukan pemasaran yang ditubuhkan juga lebih mudah kerana buku itu memang sudah direka untuk pasaran. Lebih mudah dirancang program promosinya, program pengiklanan dan sebagainya. pasukan jualan pula akan menfokuskan kepada sasaran pembaca yang bersesuaian dengan buku yang diterbitkan.

Penerbitan sendiri adalah penerbitan yang dibuat oleh seseorang individu mengikut kesukaan dan inspirasi dirinya. Segala konsep persembahan, suntingan bahasa, konsep susun atur huruf dalam dan sebagainya mengikut citarasa penulis. Ia tidak terkongkong oleh kehendak penerbit komersil. Ada kebarangkalian cara yang digunakan adalah bersesuaian dengan ramalan pasaran penulis. Namun begitu ada kebarangkalian cara itu salah. Namun begitu bagi penulis yang mahukan kepuasan diri selalunya memilih menerbit sendiri.

Susahnya menerbit sendiri adalah ia tidak mempunyai pasukan editorial yang menentukan penataan bahasa tepat mengikut kehendak standard (kalau dalam bahasa Melayu mengikut standard Dewan B Bahasa & Pustaka), tiada pasukan pemasaran dan tiada pasukan jualan. Penerbitan sendiri perlu mencari pasarannya sendiri. Bagi sesetengah individu ia tidak menjadi besar kerana mereka mempunyai pasaran tetap masing-masing. Sebagai contoh seorang pensyarah mempunyai pasaran 1,500 mahasiswa yang mengambil subjek diajarnya. Tambahan pula subjek itu adalah subjek wajib. Maka dia sudah mempunyai pasaran tetap 1,500 orang.

Cuma beliau tidak mempunyai pasukan editorial tetapi mempunyai sumber kewangan. Di sinilah Book Pro dapat membantu. Kami mempunyai editor berpengalaman, artis yang boleh menyusun atur huruf dan mereka bentuk kulit buku.

Satu lagi masalah penerbitan sendiri berbanding penerbitan komersil adalah penjagaan hak cipta. Di sini pihak Book Pro akan membantu memastikan karya yang diterbitkan adalah terjamin daripada sudut hak ciptanya.

Penerbitan komersil selalunya memberikan diskaun sebanyak 35 hingga 55% diskaun kepada kedai. Manakala penulis hanya dibayar royalti daripada 6% hingga 10% daripada harga buku. Manakala penerbitan sendiri mendapat secara langsung 35 hingga 55% daripada kedai (jika ada yang berminat) dan boleh mendapat keuntungan hingga 100% jika menjual sendiri.

Kedua-dua cara mempunyai pro dan kontranya. Jadi terserah kepada pihak individu menilainya. Pihak Book Pro sedia memberi khidmat nasihat sebab kami datang daripada kedua-dua ruangan penerbitan.

Terbit Sendiri : Adakah Ini Cara Terbaik Untuk Menerbitkan Karya Anda?

October 7, 2007

Terbit sendiri mungkin salah satu cara terbaik bagi menerbitkan karya anda. Ada beberapa kelebihan bagi menerbitkan karya sendiri. Kelebihan-kelebihan ini mungkin anda tidak pernah fikirkan sebelum ini.

PERTAMA : Terbit sendiri menjadikan anda mempunyai kuasa penuh kepada karya anda. Apabila orang lain membayar royalti kepada anda menerbitkan sesebuah buku. Mereka sudah tentu membuat banyak keputusan mengenai suntingan, kulit buku, judul buku dan pemasaran buku yang memberikan impak bukan sahaja kepada bagaimana bagusnya karya anda dijual tetapi juga penerimaan pembaca terhadapnya. Sebagai contoh jika anda ada sebuah karya yang anda sudah berikan tajuk “Menjadi Pelajar Cinta Ilmu”. Namun begitu kerana stigma kepada perkataan ilmu itu tajuk ditukar kepada “Pelajar Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. Judul tersebut mungkin tidak bersesuaian dengan apa yang ditulis, tetapi dirasakan ia boleh dijual maka ditukar kepada tajuk tersebut.

KEDUA : Terbit sendiri lebih cepat. Pernah seorang penulis menghantarkan penulis bernama besar menghantarkan karya kepada sebuah penerbit besar milik kerajaan. Sehingga sekarang sudah sepuluh tahun ia berada di tangan penerbit tersebut dan tidak diterbitkan lagi. Apabila ditanya pelbagai alasan diberikan.

KETIGA :
Terbit sendiri untung lebih besar. Walaupun anda terpaksa meletakkan duit terlebih dahulu. Wang tersebut boleh diperoleh secepat mungkin. Anda tidak perlu menunggu sebulan ataupun setahun untuk melihat hasilnya. Kebanyakan penerbit membayar royalti setahun sekali. Jumlahnya juga agak kecil. Namun begitu apabila terbit sendiri, selepas menolak diskaun dan kos percetakan. Kesemua hasil adalah untung bersih buat kita.

Namun begitu sebelum memasuki dunia penerbitan sendiri ini, kita perlu terlebih dahulu tahu sistem penerbitan dan pemasaran buku. Ini bagi mengelakkan kita membuat kesilapan. Tidak perlu bimbang, Book Pro Publishing Services bersedia memberikan khidmat nasihat terbaik buat anda.