Projek Buku Mudarabah & Al-Syarikah Siap Dicetak
January 12, 2008
Alhamdulillah! Semalam buku Mudarabah & Al-Syarikah terbitan Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dengan kerjasama Book Pro Publishing Services siap dicetak. Buku ketiga dan keempat di bawah siri buku Analisa Hadith Muamalah ini siap 4 hari lebih awal daripada tarikh sasaran. Ini satu kejayaan yang cukup membanggakan.
Merancang Penulisan Teknik Fadzli Yusof
January 6, 2008
Dipetik daripada Akademi Penulis Karya Bestseller
Semua perkara di dalam dunia ini perlu kepada perancangan. Daripada organisasi hinggalah individu perseorangan perlu merancang gerak kerja mereka bagi membawa kepada kejayaan.
Merancang penulisan adalah satu satu kunci kejayaan menghasilkan karya bestseller. Karya yang terancang bukan sahaja tersusun topik dan isinya. Ia juga membolehkan para penulis meletakkan sasaran tepat bagi menghasilkan karya mereka.
Di sini saya ingin kongsikan satu teknik yang digunakan oleh penulis paling prolifik PTS Millennia dan juga pakar motivasi muda saudara Ahmad Fadzli Yusof. Beliau tidak pernah mempunyai pengalaman menulis ketika beliau mula-mula menghadiri kursus penulisan anjuran PTS tidak lama dahulu. Namun begitu selepas itu beliau menjadi penulis pertama yang mencipta rekod penghasilan manuskrip terbanyak dalam masa setahun di PTS.
Beliau berjaya menghasilkan 15 buku dalam masa setahun. Banyak bukan? Apakah rahsianya? Saya pernah menjemput beliau berkongsi tekniknya dalam satu bengkel penulisan di Kelantan. Pada ketika itu saya dijemput oleh Persatuan Penulis Kelantan bagi mengendalikan bengkel penulisan di sana. Dalam satu slot Ahmad Fadzli menerangkan cara beliau merancang penulisan beliau. Teknik ini saya panggil Teknik Fadzli Yusof.
Mula-mula tentukan beberapa perkara :
- Tajuk buku
- Konsep buku
- Bilangan halaman buku
- Saiz manuskrip
- Selang baris
- Tarikh akhir penghantaran buku
- Tempoh masa untuk menyiapkan buku tersebut
Senarai ini menjadikan perancangannya jelas dan tersusun. Apabila semua ini ada banyak perkara yang boleh membantu penulis ini. Dua maklumat penting dalam Teknik Fadzli Yusof ini menjadikannya berjaya adalah bilangan halaman dan tempoh masa. Katalah anda merancang sebuah buku motivasi remaja, bilangan halamannya adalah 90 halaman, saiz A4, selang baris satu dan tempoh masa untuk menyiapkannya adalah 3 bulan (90 hari).
Jadi apabila dua maklumat ada iaitu bilangan halaman dan tempoh masa maka kita bahagikan mengikut hari.
90 hari perlu digunakan untuk menyiapkan 90 halaman manuskrip, saiz A4 selang baris satu
Ini bersamaan dengan 1 hari 1 muka surat saiz A4 selang baris satu.
Jadi pihak penulis tahu bahawa beliau perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan manuskrip tersebut siap sebagaimana dirancang.
Jika 1 hari tidak menulis, beliau perlu men’qadak’ penulisannya ke esok hari. Maka hari esoknya beliau perlu menulis 2 helai saiz A4 selang baris satu. Begitulah seterusnya.
Inilah teknik yang menjadikan Ahmad Fadzli Yusof pengarang prolifik.
Pengarang Bestseller Mempunyai USP Tersendiri
January 6, 2008
Dipetik daripada Akademi Penulis Karya Bestseller
Pengarang karya perlu ada Unique Selling Proposition (USP). Ini adalah satu istilah dalam pemasaran. USP ini dalam bahasa mudah slogan ataupun jenama yang menyebabkan orang kenal kepada diri kita. Kita boleh lihat contoh-contoh yang USP yang digunakan dalam iklan-iklan televisyen seperti “Macam-macam Ada”, “Gunakan Tanpa Was-was” dan “Dekat Di Hati”. Ini semuanya slogan ataupun jenama yang menyebabkan kita ingat kepada pemiliknya.
Dalam dunia penulisan pun USP sudah mula digunakan. “The Millonaire Coach”-Azizi Ali, “Jutawan Internet”-Irfan Khairi, “Jutawan Senyap”-Chef Li, Resipi Kejayaan-Ahmad Fadzli Yusof, “Motivasi Alihan Pelajar”-Dr. Tengku Asmadi dan “Teknik Amalan Belajar”-Dr. Shukri Abdullah. Kesemua ini penting bagi memudahkan para pembaca meletakkan diri kita di mana. Ia juga memudahkan pihak penerbit membuat promosi bersesuaian dengan USP kita. USP ini juga menunjukkan fokus penerbitan kita.
Apakah USP penulisan anda?
Cara Menulis Yang Baik Adalah Dengan Keluar Daripada ‘Mode Penulis’
January 6, 2008
Dipetik daripada Akademi Penulis Karya Bestseller
Tentu ramai yang pelik apabila membaca tajuk entri ini. Cara menulis yang baik adalah dengan keluar daripada ‘mode penulis’. Apabila kita bercerita dengan sahabat semasa bersarapan ataupun masa lapang, pelbagai topik yang dibincangkan. Ada topik serius, ada humor dan ada sedih. Kesemuanya itu diceritakan dalam bentuk kata-kata yang kita saling memahami. Apabila sedih kita boleh menangis, apabila lucu kita boleh ketawa dan apabila seram kita berasa takut.
Namun begitu apabila kita menulis, segala apa yang kita berjaya sampaikan sewaktu kita berbicara ataupun bercerita dengan sahabat kita tadi tidak sepertinya. Mengapa? Ini bezanya apabila kita cuba menggunakan ‘mode penulis’ dalam penulisan kita. Habis itu bagaimana? Kita perlu guna ‘mode pencerita’. Kita tulis karya sepertimana kita bercerita dengan sahabat kita tadi. Penuh perasaan, penuh emosi dan penuh dramatik. Apabila pembaca membaca karya sebegini, dia berasa dirinya dekat dengan kita dan tentunya mereka baca berterusan seperti mendengar sahabatnya bercerita.
Anda bagaimana? Mari jadikan diri pencerita yang baik.



