Book Pro Publishing Services Sudah Berdaftar Dengan Kementerian Kewangan Malaysia
October 5, 2008
Saya masih belum terlewat bagi mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pelawat setia laman web PenerbitBuku.Com. Bersempena hari yang mulia, saya ingin menyusun sepuluh jari bagi pihak pengurusan syarikat memohon maaf di atas salah silap dalam perkhidmatan kami selama ini.
Di sini saya juga ingin mengumumkan satu berita gembira yang ingin dikongsikan dengan semua. Book Pro Publishing Services sudah berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia. Alhamdulillah. Permohonan kami sudah diluluskan dan menunggu penjanaan sijil sahaja lagi.
Butiran lanjut mengenai pendaftaran tersebut adalah seperti berikut :
- Nama Syarikat : Book Pro Publishing Services
- No. Pendaftaran Kementerian Kewangan : 357-02118720
Pihak kami mengambil keputusan bagi mendaftarkan perkhidmatan kami dengan Kementerian Kewangan Malaysia selepas banyak permintaan dari pelbagai pihak mengenai keperluan tersebut.
Kepada mana-mana pihak yang ingin mengetahui lanjut mengenai perkara ini boleh hubungi talian hotline kami di 1 700 80 2776 ataupun email kepada editorial@bookpro.my. Terima kasih
Apa Projek Terbaru?
September 7, 2008
Lama betul saya tidak mengemaskini laman ini. Bukan kerana tidak ada projek, tetapi kerana terlampau banyak projek. Alhamdulillah sejak akhir-akhir ini, laman web PenerbitBuku.Com sudah mula dikenali ramai. Sudah ramai yang masuk dan meminta sebut harga bagi projek masing-masing. Terima kasih atas sokongan Anda, pihak kami akan berusaha bagi memenuhi permintaan Anda.
Apa yang terbaru?
Pihak PenerbitBuku.Com dalam proses menyiapkan 2 projek lengkap (dari suntingan ke cetak) dan 3 projek terjemahan karya luar negara. Satu projek dalam proses negosiasi. Banyak juga ya? Ini berkat sokongan Anda kepada kami. Satu yang lagi menarik, pihak Book Pro Group mensasarkan pelancaran satu projek baru dan laman web baru. Sasarannya adalah pada 1 Oktober 2008.
Projek ini adalah satu projek yang akan memberikan impak besar kepada dunia penulisan dan penerbitan buku Malaysia khususnya dan nusantara amnya. Jangan lepaskan peluang bagi mengetahuinya. Sementara itu saya jemput Anda ke laman web terbaru saya iaitu www.mentorpenulis.com bagi mendapatkan tip-tip terbaru dunia penulisan. Terima kasih sekali lagi atas sokongan Anda semua.
Book Pro Menaja Pembangunan Laman Web Pesta Buku Selangor 2008
July 2, 2008
Pada tahun ini, pihak Book Pro dengan sukacitanya menaja pembangunan laman web Pesta Buku Selangor 2008 bagi menggalakkan penyebaran bahan ilmu di Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
Pihak Book Pro menaja pembinaan laman web, domain dan tapak pelayan bagi Pesta Buku Selangor 2008. Semoga dengan penajaan ini lebih banyak manfaat diberikan kepada masyarakat.
Benarkah Orang Malaysia Tidak Membaca Buku?
June 8, 2008
Apabila bercakap mengenai dunia buku pelbagai tanggapan negatif dilontarkan oleh orang awam. Ramai yang mengatakan orang Malaysia tidak baca buku. Apabila begini bagaimana hendak menerbit buku dalam dunia buku yang tidak menggalakkan. Tambahan kepada keadaan yang kritikal ini, akhbar-akhbar, menteri-menteri kerajaan dan media memainkan lagu yang sama.
“Orang Malaysia hanya membaca 2 buku setahun.”
Kata-kata ini selalu dinyanyikan di majlis-majlis berkaitan buku, kritikan-kritikan wartawan, pertemuan-pertemuan dan sebagainya. Apabila begini ia tertanam dengan sedalam-dalamnya dalam benak para pengarang hingga ramai tidak mahu lagi berusaha menghasilkan karya berkualiti.
TUNGGU DAHULU! Jangan mudah percaya tanpa mengkritiknya terlebih dahulu. Benarkah apa yang dikatakan oleh mereka ini? Adakah benar orang Malaysia hanya membaca 2 buku satu tahun? Di manakah kajian ini dibuat?
Saya berada di dalam dunia dan industri buku sudah 8 tahun. Daripada saya menjejak kaki keluar daripada Universiti Malaya, memasuki syarikat penerbitan kecil hinggalah membesar bersamanya. Pelbagai seminar saya hadiri dan kendalikan, seminar anjuran Dewan Bahasa & Pustaka, anjuran persatuan penerbit buku dan banyak lagi. Kesemua mereka ‘menyanyikan lagu’ yang sama setiap kali berseminar. Buku Melayu susah hendak jual, tidak laku dan sebagainya.
Apa yang ingin saya katakan adakah logik apabila perkara ini dicakapkan sejak sekian lama, dunia berubah, negara semakin maju, takkanlah tabiat tidak berubah?
Saya hendak membawa Tuan Puan melihat situasi-situasi ini.
Saya terlibat secara langsung dalam penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sejak 2 tahun iaitu tahun 2007 dan 2008. Saya berfungsi sebagai setiusaha JK Publisiti & Promosi PBAKL bagi kedua-dua tahun. Catatan kehadiran pada tahun 2007 adalah 1.2 juta pengunjung berbanding hanya 500 ribu tahun sebelumnya. Catatan 2008 lebih mengagumkan, kita mencatatkan kehadiran 2.2 juta (angka tidak rasmi). Pelikkan apabila pernyataan mengenai dunia buku masih tidak berubah sedangkan angka-angka ini menunjukkan sebaliknya.
Kedai-kedai buku berantai bercambah umpama cendawan di waktu pagi. Setiap negeri menunjukkan perkembangan yang sama. Di Kelantan, salah sebuah negeri yang baru saya lawati mempunyai berpuluh kedai buku besar. Di Kota Bharu sahaja boleh lihat lebih daripada 10 buah kedai buku besar. MPH dan Popular Bookstores tidak perlu dinafikan lagi kehebatan mereka dalam dunia buku. Kedai buku Popular mensasarkan membuka 100 buah kedai seluruh Malaysia menjelang 2010. Adakah mungkin syarikat mahu melabur di dalam industri yang malap? Bagaimana orang kata pembaca Malaysia tidak baca buku? Mereka ini tidak buat kajiankah?
Cukup sekadar dua situasi ini untuk membuat Tuan Puan berfikir. Nanti kita sambung lagi dalam artikel seterusnya. Bagi mendapat tip-tip terbaru penulisan boleh ke laman web latihan saya di www.akademipenulis.com dan bagi yang ingin tahu bagaimana hendak jadi penerbit buku ataupun memerlukan khidmat penerbitan boleh ke www.penerbitbuku.com. Bagi yang ingin mendapatkan buku kegermaran dengan harga terbaik boleh lawati kedai buku online kami di www.e-kedai.net. Hingga bertemu lagi di artikel seterusnya.
Laman Book Pro Dengan Wajah & Penjenamaan Semula
June 5, 2008
Pada hari ini pihak Book Pro dengan bangganya melancarkan laman web Book Pro dengan wajah dan penjenamaan baru. Sebelum ini laman web Book Pro menggunakan nama domain www.bookprogroup.com. Namun begitu selepas beberapa perbincangan di peringkat lembaga pengarah dan pengurusan Book Pro, pihak kami dengan sebulat suara menjenamakan laman web Book Pro kepada PenerbitBuku.Com (www.penerbitbuku.com).
Laman PenerbitBuku.Com ini direka bagi memudahkan para pelanggan melungsuri kesemua perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kami. Setiap perkhidmatan diberikan jenama masing bersesuaian dengan gaya perkhidmatan tersebut. Perkhidmatan yang disediakan oleh Book Pro adalah seperti berikut :
- Book Pro Sunting
- Book Pro Terjemah
- Book Pro Layout
- Book Pro Cetak
- Book Pro Edar
- Book Pro Latih
- Pakej Lengkap Book Pro
- Lain-lain Perkhidmatan
Di samping itu juga pihak kami menggunakan email berasaskan bookpro.my. Jadi Anda perlu mengenalpasti email-email penting bagi memudahkan pihak anda menghubungi pihak kami.
Pihak kami mengharapkan dengan wujudnya laman web baru dan penjenamaan semula ini, ia dapat memberikan keselesaan kepada para pelanggan kami. Kami menunggu panggilan daripada pihak Anda.
Projek Terkini : Buku Wasiat & Hibah
November 24, 2007
Alhamdulillah pihak BookPro baru selesai menyiapkan buku terbitan Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Buku yang bertajuk Wasiat & Hibah ini bakal berada di dalam pasaran pada minggu pertama bulan Disember 2007. Buku ini adalah projek pertama di bawah kerjasama di antara Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan BookPro. InsyaAllah selepas ini ada dua lagi projek yang bakal diterbitkan dalam masa terdekat. Di sini saya kongsikan kulit buku tersebut buat tatapan semua.
PenerbitBuku.Com Berwajah Baru dan Berada Di Top 10 Google Carian
October 7, 2007
Alhamdulillah hari ini saya berjaya menaikkan wajah baru PenerbitBuku.Com ini. Ini merupakan era baru kepada perkembangan BookPro. Wajah baru, azam baru, inspirasi baru dan kekuatan baru.
Alhamdulillah juga pada ketika ini ada beberapa projek baru diperoleh dan sedang dikendalikan oleh pihak BookPro. Ini juga memberikan semangat kepada semua warga BookPro.
Yang terbaru, saya membuat carian di enjin carian Google bagi kata kunci yang pada pandangan saya amat penting iaitu “penerbit buku”. Cuba teka apa yang saya peroleh? Laman web ini berada di kedudukan 3 daripada 1,770,000. Satu kedudukan yang amat baik bagi seorang usahawan online seperti saya.



