Benarkah Orang Malaysia Tidak Membaca Buku?
June 8, 2008
Apabila bercakap mengenai dunia buku pelbagai tanggapan negatif dilontarkan oleh orang awam. Ramai yang mengatakan orang Malaysia tidak baca buku. Apabila begini bagaimana hendak menerbit buku dalam dunia buku yang tidak menggalakkan. Tambahan kepada keadaan yang kritikal ini, akhbar-akhbar, menteri-menteri kerajaan dan media memainkan lagu yang sama.
“Orang Malaysia hanya membaca 2 buku setahun.”
Kata-kata ini selalu dinyanyikan di majlis-majlis berkaitan buku, kritikan-kritikan wartawan, pertemuan-pertemuan dan sebagainya. Apabila begini ia tertanam dengan sedalam-dalamnya dalam benak para pengarang hingga ramai tidak mahu lagi berusaha menghasilkan karya berkualiti.
TUNGGU DAHULU! Jangan mudah percaya tanpa mengkritiknya terlebih dahulu. Benarkah apa yang dikatakan oleh mereka ini? Adakah benar orang Malaysia hanya membaca 2 buku satu tahun? Di manakah kajian ini dibuat?
Saya berada di dalam dunia dan industri buku sudah 8 tahun. Daripada saya menjejak kaki keluar daripada Universiti Malaya, memasuki syarikat penerbitan kecil hinggalah membesar bersamanya. Pelbagai seminar saya hadiri dan kendalikan, seminar anjuran Dewan Bahasa & Pustaka, anjuran persatuan penerbit buku dan banyak lagi. Kesemua mereka ‘menyanyikan lagu’ yang sama setiap kali berseminar. Buku Melayu susah hendak jual, tidak laku dan sebagainya.
Apa yang ingin saya katakan adakah logik apabila perkara ini dicakapkan sejak sekian lama, dunia berubah, negara semakin maju, takkanlah tabiat tidak berubah?
Saya hendak membawa Tuan Puan melihat situasi-situasi ini.
Saya terlibat secara langsung dalam penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sejak 2 tahun iaitu tahun 2007 dan 2008. Saya berfungsi sebagai setiusaha JK Publisiti & Promosi PBAKL bagi kedua-dua tahun. Catatan kehadiran pada tahun 2007 adalah 1.2 juta pengunjung berbanding hanya 500 ribu tahun sebelumnya. Catatan 2008 lebih mengagumkan, kita mencatatkan kehadiran 2.2 juta (angka tidak rasmi). Pelikkan apabila pernyataan mengenai dunia buku masih tidak berubah sedangkan angka-angka ini menunjukkan sebaliknya.
Kedai-kedai buku berantai bercambah umpama cendawan di waktu pagi. Setiap negeri menunjukkan perkembangan yang sama. Di Kelantan, salah sebuah negeri yang baru saya lawati mempunyai berpuluh kedai buku besar. Di Kota Bharu sahaja boleh lihat lebih daripada 10 buah kedai buku besar. MPH dan Popular Bookstores tidak perlu dinafikan lagi kehebatan mereka dalam dunia buku. Kedai buku Popular mensasarkan membuka 100 buah kedai seluruh Malaysia menjelang 2010. Adakah mungkin syarikat mahu melabur di dalam industri yang malap? Bagaimana orang kata pembaca Malaysia tidak baca buku? Mereka ini tidak buat kajiankah?
Cukup sekadar dua situasi ini untuk membuat Tuan Puan berfikir. Nanti kita sambung lagi dalam artikel seterusnya. Bagi mendapat tip-tip terbaru penulisan boleh ke laman web latihan saya di www.akademipenulis.com dan bagi yang ingin tahu bagaimana hendak jadi penerbit buku ataupun memerlukan khidmat penerbitan boleh ke www.penerbitbuku.com. Bagi yang ingin mendapatkan buku kegermaran dengan harga terbaik boleh lawati kedai buku online kami di www.e-kedai.net. Hingga bertemu lagi di artikel seterusnya.
Idea Baru Mencari Duit Dalam Krisis Harga Minyak
June 5, 2008
Kejutan terbaru dibuat semalam apabila Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 40% daripada harga asal iaitu daripada RM 1.92 kepada RM 2.70 dan harga diesel dinaikkan sebanyak RM 1.00. Kejutan yang amat mengejutkan dan merupakan bahan cerita menarik di kedai-kedai kopi, ruang-ruang pejabat dan tempat perkumpulan rakyat.
Isu kenaikan harga minyak menjadi polemik terbaru kepada masyarakat Malaysia. Ia timbul selepas berlaku polemik sebelum ini iaitu kenaikan harga beras negara. Ini umpama satu musibah yang menimpa-nimpa kepada masyarakat Malaysia. Kesan besar amat dirasa terutamanya golongan kelas menengah yang hidup mereka berada di bandar-bandar besar negara. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pinggir bandar yang mengambil jarak agak jauh dengan tempat kerja. Ada khabar-khabar yang mengatakan kesan daripada harga minyak ini menyebabkan ramai sanggup berhenti kerja kerana tidak sanggup menanggung kos kenaikan minyak ini. Mereka cuba mencari kerja berdekatan kawasan tempat tinggal dan ada yang cuba mencari ruang agar dapat bekerja dari rumah.
Persoalan mencari ruang baru dalam menjana pendapatan mula timbul. Ada yang mencuba membuat kerja-kerja kontrak daripada syarikat-syarikat terkenal dengan penyumberluaran kerja. Ada yang mencari peluang bisnes dari rumah terutamanya berasaskan internet. eBay, Bisnes internet, Adsense dan banyak lagi.
Ada yang bertanya apakah sumber lain boleh dibuat dengan kos rendah dan pendapatan baik. Salah satu yang bermain di kepala adalah menulis buku dan menerbit buku. Kosnya hanyalah otak dan dakwat pen (ini hanya metafora kepada peralatan sewaktu dengannya seperti komputer dan sebagainya). Penulisan datang daripada idea dan konsep yang digarap serta digabung jalin ke dalam bentuk bertulis.
Idea baru ini akan kita kupas dalam siri penulisan saya seterusnya. Bagi mendapat maklumat lanjut selepas ini boleh lawati laman web saya di www.penerbitbuku.com. Hingga bertemu lagi di artikel seterusnya. Salam persahabatan.
Merancang Penulisan Teknik Fadzli Yusof
January 6, 2008
Dipetik daripada Akademi Penulis Karya Bestseller
Semua perkara di dalam dunia ini perlu kepada perancangan. Daripada organisasi hinggalah individu perseorangan perlu merancang gerak kerja mereka bagi membawa kepada kejayaan.
Merancang penulisan adalah satu satu kunci kejayaan menghasilkan karya bestseller. Karya yang terancang bukan sahaja tersusun topik dan isinya. Ia juga membolehkan para penulis meletakkan sasaran tepat bagi menghasilkan karya mereka.
Di sini saya ingin kongsikan satu teknik yang digunakan oleh penulis paling prolifik PTS Millennia dan juga pakar motivasi muda saudara Ahmad Fadzli Yusof. Beliau tidak pernah mempunyai pengalaman menulis ketika beliau mula-mula menghadiri kursus penulisan anjuran PTS tidak lama dahulu. Namun begitu selepas itu beliau menjadi penulis pertama yang mencipta rekod penghasilan manuskrip terbanyak dalam masa setahun di PTS.
Beliau berjaya menghasilkan 15 buku dalam masa setahun. Banyak bukan? Apakah rahsianya? Saya pernah menjemput beliau berkongsi tekniknya dalam satu bengkel penulisan di Kelantan. Pada ketika itu saya dijemput oleh Persatuan Penulis Kelantan bagi mengendalikan bengkel penulisan di sana. Dalam satu slot Ahmad Fadzli menerangkan cara beliau merancang penulisan beliau. Teknik ini saya panggil Teknik Fadzli Yusof.
Mula-mula tentukan beberapa perkara :
- Tajuk buku
- Konsep buku
- Bilangan halaman buku
- Saiz manuskrip
- Selang baris
- Tarikh akhir penghantaran buku
- Tempoh masa untuk menyiapkan buku tersebut
Senarai ini menjadikan perancangannya jelas dan tersusun. Apabila semua ini ada banyak perkara yang boleh membantu penulis ini. Dua maklumat penting dalam Teknik Fadzli Yusof ini menjadikannya berjaya adalah bilangan halaman dan tempoh masa. Katalah anda merancang sebuah buku motivasi remaja, bilangan halamannya adalah 90 halaman, saiz A4, selang baris satu dan tempoh masa untuk menyiapkannya adalah 3 bulan (90 hari).
Jadi apabila dua maklumat ada iaitu bilangan halaman dan tempoh masa maka kita bahagikan mengikut hari.
90 hari perlu digunakan untuk menyiapkan 90 halaman manuskrip, saiz A4 selang baris satu
Ini bersamaan dengan 1 hari 1 muka surat saiz A4 selang baris satu.
Jadi pihak penulis tahu bahawa beliau perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan manuskrip tersebut siap sebagaimana dirancang.
Jika 1 hari tidak menulis, beliau perlu men’qadak’ penulisannya ke esok hari. Maka hari esoknya beliau perlu menulis 2 helai saiz A4 selang baris satu. Begitulah seterusnya.
Inilah teknik yang menjadikan Ahmad Fadzli Yusof pengarang prolifik.
Pengarang Bestseller Mempunyai USP Tersendiri
January 6, 2008
Dipetik daripada Akademi Penulis Karya Bestseller
Pengarang karya perlu ada Unique Selling Proposition (USP). Ini adalah satu istilah dalam pemasaran. USP ini dalam bahasa mudah slogan ataupun jenama yang menyebabkan orang kenal kepada diri kita. Kita boleh lihat contoh-contoh yang USP yang digunakan dalam iklan-iklan televisyen seperti “Macam-macam Ada”, “Gunakan Tanpa Was-was” dan “Dekat Di Hati”. Ini semuanya slogan ataupun jenama yang menyebabkan kita ingat kepada pemiliknya.
Dalam dunia penulisan pun USP sudah mula digunakan. “The Millonaire Coach”-Azizi Ali, “Jutawan Internet”-Irfan Khairi, “Jutawan Senyap”-Chef Li, Resipi Kejayaan-Ahmad Fadzli Yusof, “Motivasi Alihan Pelajar”-Dr. Tengku Asmadi dan “Teknik Amalan Belajar”-Dr. Shukri Abdullah. Kesemua ini penting bagi memudahkan para pembaca meletakkan diri kita di mana. Ia juga memudahkan pihak penerbit membuat promosi bersesuaian dengan USP kita. USP ini juga menunjukkan fokus penerbitan kita.
Apakah USP penulisan anda?
Cara Menulis Yang Baik Adalah Dengan Keluar Daripada ‘Mode Penulis’
January 6, 2008
Dipetik daripada Akademi Penulis Karya Bestseller
Tentu ramai yang pelik apabila membaca tajuk entri ini. Cara menulis yang baik adalah dengan keluar daripada ‘mode penulis’. Apabila kita bercerita dengan sahabat semasa bersarapan ataupun masa lapang, pelbagai topik yang dibincangkan. Ada topik serius, ada humor dan ada sedih. Kesemuanya itu diceritakan dalam bentuk kata-kata yang kita saling memahami. Apabila sedih kita boleh menangis, apabila lucu kita boleh ketawa dan apabila seram kita berasa takut.
Namun begitu apabila kita menulis, segala apa yang kita berjaya sampaikan sewaktu kita berbicara ataupun bercerita dengan sahabat kita tadi tidak sepertinya. Mengapa? Ini bezanya apabila kita cuba menggunakan ‘mode penulis’ dalam penulisan kita. Habis itu bagaimana? Kita perlu guna ‘mode pencerita’. Kita tulis karya sepertimana kita bercerita dengan sahabat kita tadi. Penuh perasaan, penuh emosi dan penuh dramatik. Apabila pembaca membaca karya sebegini, dia berasa dirinya dekat dengan kita dan tentunya mereka baca berterusan seperti mendengar sahabatnya bercerita.
Anda bagaimana? Mari jadikan diri pencerita yang baik.
Terbit Sendiri VS Penerbitan Komersil
October 7, 2007
Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa pula saya sebagai penerbit buku yang sudah mempunyai nama mahu menceburi desktop publishing services. Adakah tiada bisnes dalam penerbitan komersil berbanding dengan penerbitan sendiri (Self publishing). Saya membuka satu unit khas desktop publishing ini adalah bagi memberikan alternatif kepada semua penulis dan individu yang merasakan mereka mampu menerbit sendiri buku. Mereka mempunyai kekuatan kewangan, kekuatan pemasaran, mempunyai ruangan penjualan sendiri cuma tidak mempunyai kepakaran dalam bidang penerbitan buku. Saya di penerbitan komersil, PTS Millennia Sdn Bhd menerbit buku yang lebih spesifik kepada pasaran buku umum. Ada juga pasaran buku yang kami sendiri tidak tahu untuk masuk dan hanya orang tertentu sahaja tahu.
Jadi dengan adanya Book Pro Publishing Services ia memberikan medium pilihan dan alternatif kepada mereka yang tahu cara pemasaran tetapi tidak mempunyai kepakaran penerbitan. Jangan salah anggap pula.
Apakah Bezanya Penerbitan Sendiri dengan Penerbitan Komersil
Penerbitan komersil adalah penerbitan yang sudah mempunyai cara penerbitannya yang tersendiri. Mereka sudah ada spesifikasi buku, kriteria buku, konsep buku dan cara menerbit buku tersendiri. Segala buku yang diterbitkan di bawah penerbitan komersil adalah di bawah acuannya. Melalui penerbitan komersil ini mereka mempunyai pasukan editorial, pasukan pemasaran dan pasukan jualannya sendiri.
pasukan editorial yang diwujudkan dengan cara penerbitan mereka mempunyai cara serta hala tuju mengikut polisi ditetapkan oleh pengurusan. Konsep reka bentuk, isi, cara suntingan dan persembahan dirancang mengikut polisi penerbitan mereka. Jadi bagi penulis yang mahu masuk menerbit buku dengan penerbit tersebut perlu mengikut segala yang ditetapkan oleh penerbit itu. Dari satu segi nampak macam buruk tetapi banyak kebaikannya. Konsep yang dibuat itu selalunya sudah diuji bertahun-tahun sejak penerbitan pertama penerbit tersebut. Jadi penerbitan sesuatu buku itu sudah dirancang mengikut hasil ujian tersebut. Buku akan lebih mudah dijual kerana penerbit sudah tahu buku mana yang boleh dijual dan mana yang tidak boleh. Kulit buku, susun atur huruf buku serta persembahan bahasa dibuat dengan teliti mengikut kehendak pasaran.
pasukan pemasaran yang ditubuhkan juga lebih mudah kerana buku itu memang sudah direka untuk pasaran. Lebih mudah dirancang program promosinya, program pengiklanan dan sebagainya. pasukan jualan pula akan menfokuskan kepada sasaran pembaca yang bersesuaian dengan buku yang diterbitkan.
Penerbitan sendiri adalah penerbitan yang dibuat oleh seseorang individu mengikut kesukaan dan inspirasi dirinya. Segala konsep persembahan, suntingan bahasa, konsep susun atur huruf dalam dan sebagainya mengikut citarasa penulis. Ia tidak terkongkong oleh kehendak penerbit komersil. Ada kebarangkalian cara yang digunakan adalah bersesuaian dengan ramalan pasaran penulis. Namun begitu ada kebarangkalian cara itu salah. Namun begitu bagi penulis yang mahukan kepuasan diri selalunya memilih menerbit sendiri.
Susahnya menerbit sendiri adalah ia tidak mempunyai pasukan editorial yang menentukan penataan bahasa tepat mengikut kehendak standard (kalau dalam bahasa Melayu mengikut standard Dewan B Bahasa & Pustaka), tiada pasukan pemasaran dan tiada pasukan jualan. Penerbitan sendiri perlu mencari pasarannya sendiri. Bagi sesetengah individu ia tidak menjadi besar kerana mereka mempunyai pasaran tetap masing-masing. Sebagai contoh seorang pensyarah mempunyai pasaran 1,500 mahasiswa yang mengambil subjek diajarnya. Tambahan pula subjek itu adalah subjek wajib. Maka dia sudah mempunyai pasaran tetap 1,500 orang.
Cuma beliau tidak mempunyai pasukan editorial tetapi mempunyai sumber kewangan. Di sinilah Book Pro dapat membantu. Kami mempunyai editor berpengalaman, artis yang boleh menyusun atur huruf dan mereka bentuk kulit buku.
Satu lagi masalah penerbitan sendiri berbanding penerbitan komersil adalah penjagaan hak cipta. Di sini pihak Book Pro akan membantu memastikan karya yang diterbitkan adalah terjamin daripada sudut hak ciptanya.
Penerbitan komersil selalunya memberikan diskaun sebanyak 35 hingga 55% diskaun kepada kedai. Manakala penulis hanya dibayar royalti daripada 6% hingga 10% daripada harga buku. Manakala penerbitan sendiri mendapat secara langsung 35 hingga 55% daripada kedai (jika ada yang berminat) dan boleh mendapat keuntungan hingga 100% jika menjual sendiri.
Kedua-dua cara mempunyai pro dan kontranya. Jadi terserah kepada pihak individu menilainya. Pihak Book Pro sedia memberi khidmat nasihat sebab kami datang daripada kedua-dua ruangan penerbitan.
Terbit Sendiri : Adakah Ini Cara Terbaik Untuk Menerbitkan Karya Anda?
October 7, 2007
Terbit sendiri mungkin salah satu cara terbaik bagi menerbitkan karya anda. Ada beberapa kelebihan bagi menerbitkan karya sendiri. Kelebihan-kelebihan ini mungkin anda tidak pernah fikirkan sebelum ini.
PERTAMA : Terbit sendiri menjadikan anda mempunyai kuasa penuh kepada karya anda. Apabila orang lain membayar royalti kepada anda menerbitkan sesebuah buku. Mereka sudah tentu membuat banyak keputusan mengenai suntingan, kulit buku, judul buku dan pemasaran buku yang memberikan impak bukan sahaja kepada bagaimana bagusnya karya anda dijual tetapi juga penerimaan pembaca terhadapnya. Sebagai contoh jika anda ada sebuah karya yang anda sudah berikan tajuk “Menjadi Pelajar Cinta Ilmu”. Namun begitu kerana stigma kepada perkataan ilmu itu tajuk ditukar kepada “Pelajar Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. Judul tersebut mungkin tidak bersesuaian dengan apa yang ditulis, tetapi dirasakan ia boleh dijual maka ditukar kepada tajuk tersebut.
KEDUA : Terbit sendiri lebih cepat. Pernah seorang penulis menghantarkan penulis bernama besar menghantarkan karya kepada sebuah penerbit besar milik kerajaan. Sehingga sekarang sudah sepuluh tahun ia berada di tangan penerbit tersebut dan tidak diterbitkan lagi. Apabila ditanya pelbagai alasan diberikan.
KETIGA : Terbit sendiri untung lebih besar. Walaupun anda terpaksa meletakkan duit terlebih dahulu. Wang tersebut boleh diperoleh secepat mungkin. Anda tidak perlu menunggu sebulan ataupun setahun untuk melihat hasilnya. Kebanyakan penerbit membayar royalti setahun sekali. Jumlahnya juga agak kecil. Namun begitu apabila terbit sendiri, selepas menolak diskaun dan kos percetakan. Kesemua hasil adalah untung bersih buat kita.
Namun begitu sebelum memasuki dunia penerbitan sendiri ini, kita perlu terlebih dahulu tahu sistem penerbitan dan pemasaran buku. Ini bagi mengelakkan kita membuat kesilapan. Tidak perlu bimbang, Book Pro Publishing Services bersedia memberikan khidmat nasihat terbaik buat anda.



